Oh Rokok

Rokok? Cuba lihat di sekililing anda, siapakah yang merokok. Ayah, abang, adik, ataupun kakak dan nenek, atau anda sendiri yang mehisap rokok? Apa yang anda tahu mengenai rokok? Adakah menghisapnya sekadar satu nikmat dan kepuasan pada penghisap rokok tanpa menjejaskan orang yang tidak merokok? Dan adakah rokok tidak memberi kesan kesihatan kepada penghisap dan penghidu asap rokok?

Hari ini, merokok seolah suatu kebiasaan yang diterima umum secara meluas dikalangan masyarakat. Malah ada juga yang menganggap bahawa merokok lambang kebanggaan dan kegagahan diri terutama dikalangan kaum lelaki. Sedangkan bagi yang mengetahui hakikat sebenar dunia perokok, mereka sebenarnya sedang menghancurkan dan membinasakan diri.

Iklan-iklan promosi yang disiarkan oleh media juga seolah menambah rencah untuk menjadikan ia sesuatu yang diterima umum, apatah lagi apabila ditambah dengan model artis yang popular dan menjadi kegilaan masyarakat khususnya remaja yang mementingkan gaya dan style.

Banyak kajian yang sudah dilakukak keatas rokok, namun yang pasti tiada dijumpai langsung kesan yang dapat memberi kebaikan dan manfaat selain kepuasan yang sementara pada penghisap rokok bahkan lebih kepada menambah kemudharatan kepada penghisap dan orang yang berada disekililignya.

Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.



Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sind
rom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan.

Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.


Nikotin turut menj
adi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.


Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, or
gan pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.

(Petikan dari Portal kesihatan Hospital Bentong)






Asap rokok bukan sahaja memberi kesan yang sangat besar kepada penghisapnya, malah turut memberi kesan keatas orang sekililing. Malah kesan yang paling dasyat adalah terhadap bayi yang tidak bersalah hasil daripada ibu yang menghidu asap rokok dari si ayah!. Malah kehidupan seorang anak perokok juga mudah terdedah kepada pelbagai penyakit seperti jangkitan pada paru-paru, mudah mendapat lelah dan berpotensi untuk menjadi perokok apabila besar kelak.

Malah statistik kematian di Malaysia juga menunjukkan lebih 10,000 kematian setahun adalah berpunca daripada mereka yang merokok dan menghidap 10 jenis kanser, antaranya paru-paru, mulut, esofogus, tekak, pankreas, pundi kencing dan buah pinggang. Dan yang lebih membimbangkan apabila kadar merokok dari golongan remaja dan wanita semakin meningkat. 25% dari pelajar sekolah berumur 15 tahun keatas pernah mencuba merokok dan 70% dari kumpulan ini akan menjadi perokok apabila meninggalkan bangku sekolah.

Isu mengenai bahaya rokok ini bukanlah perkara baru. Beberapa fatwa dikeluarkan sebelum ini oleh ulama islam antarabangsa seperti oleh Al-Marhum Mufti Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, Syeikh Abdullah Al-Masyd (ketua Lembaga Fatwa Azhar), Dr.Ahmad Umar Hashim (Naib Canselor Azhar), Syeikh Ahmad as-Sunhawy al_bahuty al-Anjalaby, Syeikh Al-Malakiyah Ibrahim al-Qarni dri Mesir, An-Naim al-Gazy al-Amiry as-Syafi’I dari Syria, dan ulama Makkah Abdul Malik al-Ashami, dan juga fatwa Dr.Yusuf Qardhawi.

Merokok haram hukumnya berdasarkan makna daripada zahir ayat Al-Qu’ran da As-Sunnah serta iktibar (logik) yang benar. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri dalam kebinasaan”. Merokok termasuk perbuatan yang mencampakkan diri sendiri ke dalam kebinasaan.

Sabda Baginda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadith sahih melarang membazirkan harta kepada hal tidak bermanfaat. Membeli rokok bukan sahaja memperuntukkan harta pada hal yang tidak bermanfaat, bahkan boleh membawa kemudaratan. Dalam hadith riwayat Ibnu Majah, Baginda S.A.W bersabda yang bemaksud “Tidak boleh (menimbulkan) bahaya dan tidak boleh pula membahayakan orang lain”.

Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud, “Dihalalkan atas mereka apa-apa yang baik, dan diharamkan atas mereka apa-apa yang buruk (kotoran)”. Rokok dan bau mulut perokok juga mengganggu orang lain termasuk jemaah solat.

Nah! Apa ditunggu lagi, segeralah berhenti merokok demi kebaikan bersama. Gunakan kaedah yang betul untuk berhenti. Antaranya, tetapkan tarikh untuk berhenti, yakinkan diri, buat nota peringatan, sentiasa berfikiran positif, gunakan terapi atau rawatan yang sesuai dan yang paling penting dapatkan sokongan dari orang sekeliling.

Oleh itu, jika anda seorang perokok, lakukanlah perubahan dalam hidup anda demi kebaikan mereka yang anda sayangi. Berubahlah secara berperingkat dan berterusan diiringi dengan azam dan doa yang kuat. Sesungguhnya perubahan yang anda lakukan, akan membawa sinar yang bahagia untuk anda dan keluarga dalam jangka masa yang panjang.

Wallahua’lam


Nur Izzati Jamaludin,
Tahun 3,

Shariah,ekonomi dan perbankan islam,

Universiti Yarmouk.

About me

Photostream